Oleh WAN RAMLI WAN MUHAMAD
utusanterengganu@utusan.com.my
KUALA TERENGGANU 13 Jan. - Semua rakyat Terengganu termasuk kakitangan kerajaan akan diberi satu lot tanah sama ada sebagai tapak rumah atau untuk tujuan pertanian.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, kerajaan negeri akan memastikan setiap keluarga yang masih belum memiliki tanah akan diberi satu lot menerusi proses permohonan dan pembahagian tanah di negeri itu.
Bagaimanapun menurutnya, bagi yang sudah mempunyai tanah mereka tidak layak diberi pertimbangan.
"Dalam hal ini, kita bagi juga (tanah) kepada pegawai kerajaan sebagai penghargaan kepada kakitangan awam yang belum menerima pemberian tanah kerajaan dengan syarat mereka sudah berkhidmat lebih 10 tahun dan merupakan rakyat Terengganu," katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis taklimat Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Terengganu bertajuk Menuju ke Arah Kecemerlangan sempena pelancaran Program Pendaftaran Urusniaga dan Bukan Urusniaga Dalam Masa Sehari di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mokthar Nong; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mazlan Ngah dan Pengarah PTG negeri, Datuk Abdul Razak Ismail.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, kerajaan negeri menganggap golongan yang sudah ada tanah di negeri ini amat bertuah kerana berkemampuan membeli tanah sendiri.
Menurutnya, pada masa ini tanah di Terengganu semakin kurang dan untuk melaksanakan projek perumahan, tanah paya terpaksa digunakan kerana tanah yang lain sudah diberi kepada rakyat.
Beliau memberitahu, kerajaan negeri tidak membuka sepanjang masa permohonan untuk mendapatkan tanah kerana ada golongan yang meneroka tanah kerajaan menjualnya kepada pihak lain.
"Jadi, susahlah kerajaan. Kita hanya akan beri tanah kepada mereka yang benar-benar memerlukannya," tambahnya.
Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata, PTG negeri adalah yang pertama melaksanakan sistem pendaftaran pelbagai urusan tanah dalam tempoh sehari.
Jelasnya, sistem tersebut dilakukan dengan mengikut jejak langkah Jabatan Imigresen yang dapat mengeluarkan pasport dalam masa sehari.
Menurutnya, walaupun urusan pendaftaran tanah lebih bersifat teknikal dan menyulitkan, namun berkat usaha bersungguh-sungguh pegawai dan kakitangannya, PTG dapat melaksanakan tugas itu dengan berkesan.
Beliau turut kagum dengan persekitaran pejabat PTG yang kondusif dengan sistem penyimpanan fail dan stor yang teratur.
Ahmad mahu keadaan sama dilakukan di pejabat tanah daerah-daerah supaya semua urusan dapat dilakukan dengan teratur dan sempurna.
(http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0114&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_28.htm)
Org duk di KL atau selangor...apply melalui PESAT (Persatuan anak2 Terengganu di KL ngan Selangor)
no:03-89263344